31 Disember 2010

SENARAI SEMAK MUHASABAH DIRI SEBELUM TAHUN BARU 2011

Sudah lama rasanya tidak menulis dalam blog ini. Blog yang baru setahun jagung ini selalu dilupakan atas kesibukan saya melayan karenah dunia. Cuti sekolah yang panjang juga tidak memberikan kesempatan terluang untuk blog ini. Namun hari ini, kesempatan diberikan untuk mencoret sedikit perkongsian.

Hari ini 31 Disember 2010, hari terakhir sebelum kita masuk tahun baru 2011. Maknanya hanya beberapa detik sahaja lagi kita akan meninggalkan tahun 2010.

Tanpa disedari masa berlalu begitu cepat. barangkali banyak lagi yang ingin dilakukan tetapi tidak dapat dicapai kerana peredaran masa yang begitu singkat.

Tahniah kepada semua yang telah berjaya mencapai azam sepanjang tahun 2010 ini. Bagi yang masih gagal mencapai azam, jangan putus asa atau putus harapan. Teruskan azam tersebut ke tahun 2011. Mudah-mudahan berkat usaha dan kesabaran kita selama ini maka Allah s.w.t mempermudahkan kita untuk mencapainya.

Kesempatan yang ada ini, eloklah rasanya kita bermuhasabah diri bagi mencari ruang untuk memperbaiki diri agar sentiasa berada pada jalan keredhaan-Nya, tidak tersasar dari jalan ketakwaan sebagai umat Islam. Sebagai muslim, muhasabah diri perlu dilakukan setiap hari. Tujuannya untuk merenung kembali amalan diri kita. Apakah kita telah melakukan amal soleh seperti yang dituntut oleh agama? Apakah kita telah mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya? 

Muhasabah diri juga perlu dilakukan secara berpakej dengan melakukan 'bedah siasat' terhadap sikap dan sifat diri kita yang merangkumi luaran dan dalaman. Untuk menjadi manusia yang baik, segalanya harus bermula daripada hati kerana segumpal hati yang baik akan mempengaruhi kelakuan, sikap dan perbuatan seseorang.

Di dalam kita muhasabah diri, Syed Sabiq telah menyediakan satu senarai lengkap untuk menjadi senarai semak untuk kita semua membaiki diri iaitu :
  1. Lemah jiwa
  2. Mudah putus asa
  3. Putus harapan
  4. Angkuh
  5. Gembira tidak terbatas
  6. Ujub (Kagum dengan diri sendiri)
  7. Megah
  8. Zalim (aniaya)
  9. Girang
  10. Ingkar kepada kebenaran
  11. Tidak tahu berterima kasih (bersyukur)
  12. Tergesa-gesa
  13. Sempit dada (sempit fikiran)
  14. Kurang panjang akal
  15. Kikir (kedekut) untuk berbuat baik
  16. Bakhil pada harta
  17. Tamak haloba
  18. Suka membantah
  19. Suka menunjuk-nunjuk
  20. Bimbang kepada kebenaran
  21. Ragu-ragu kepada petunjuk
  22. Bodoh
  23. Lalai kepada kekurangan diri
  24. Suka berkeras sewaktu berbantah
  25. Tertipu dengan perasaan diri sendiri
  26. Berpura-pura
  27. Gelisah
  28. Keluh kesah
  29. Tidak suka menolong
  30. Lari dari kebenaran
  31. Menentang kekuasaan Tuhan
  32. Derhaka
  33. Melampaui batas
  34. Cinta harta
  35. Terpesona dengan keduniaan.
Sikap dan tabiat dalam senarai semak di atas adalah kayu ukur yang sering dikaitkan dengan penyakit hati. Sempena tahun baru 2011 ini, marilah kita sama-sama menjaga hati agar kita terpelihara daripada penyakit yang boleh menyebabkan amalan kita tidak sempurna.

Selamat menyambut tahun baru 2011 dengan muhasabah diri. Tanamkan azam untuk memiliki hati yang baru.

02 November 2010

KEMATIAN


Setiap insan atau manusia akan menemui mati dan mati itu akan datang tepat pada masanya, tidak terawal awal terlewat sedetik pun.

Setiap manusia Islam yang menemui kematian akan dibangkitkan semula dan pasti bertemu Allah di hari perhitungan.

Hari perhitungan juga dikenali sebagai hari pembalasan dan di hari tersebut ada tiga perkara yang setiap manusia pasti akan merasa takut kepadanya:

1. Ketakutan Pertama: Apakah dia akan menerima buku laporannya dengan tangan kanan atau pun tangan kiri. Tangan yang diangkat ini adalah dengan perintah Allah dan tiada boleh diubah bergantung kepada apa yang dilakukan sewaktu hidup di dunia ini. Jika baik keseluruhan pengisian hidupnya maka tangan kanan akan terangkat dan Allah akan menyerahkan rekodnya kepadanya melalui tangan kanannya maka baiklah nasibnya manakala kalau buruk pengisian hidupnya maka rekod akan dicampakkan kepada tangan kirinya dan buruklah nasibnya disisi tuhannya.

2. Ketakutan Kedua : Untuk melihat neraca atau alat pertimbangan untuknya samaada akan senget kekanan atau senget kekiri, kalau senget kekanan maka baiklah nasibnya manakala kalau senget kekiri akan buruklah nasibnya.

3. Ketakutan Ketiga: Setelah dibuat pertimbangan, apakah dia akan dijemput dan dipelawa dengan senyuman dan ucapan selamat datang ke Syurga ALLAH atau akan ditendang dan dicampakkan ke dalam neraka.

• Dihari perhitungan nanti, setiap individu tiada terkecuali akan melalui 7 pusat pemeriksaan.

1. Soalan Pertama : Bagaimana imannya, ada imankah dia , kuruskah imannya, gemukkah imannya, kosongkah imannya, berimankah isterinya, berimankah anak-anaknya, berusahakah dia menanam iman kepada anak-anak dan ahli keluarga dibawah jagaannya.

2. Soalan Kedua ; Bagaimana kesempurnaan solat lima waktunya dan ahli keluarganya, berusahakah dia menyempurnakan solat ahli keluarga dan orang-orang dibawah jagaannya..

3. Soalan Ketiga : Bagaimana pengeluaran zakat fitrah untuk diri dan ahli keluarga dibawah jagaannya. Bagaimana pula zakat hartanya, cukupkah nilai dan tepatkah tempoh pembayarannya. Ikhlaskah dia sewaktu mengeluarkannya.

4. Soalan Keempat: Bagaimana puasa Ramadhannya, cukup dan sempurnakah perlaksanaannya. Bagaimana dia mengajak dan mengasuh ahli keluarganya untuk mendirikan dan menyempurnakan puasa mereka..

5. Soalan Kelima : Sudahkah dia mengerjakan Haji dan Umrah dan bagaimanakah perlaksanaannya, sempurnakah ia dan ikhlaskah ia dalammenyempurnakan ibadat tersebut. Jika tidak mampu , apakah benar-benartidak mampu dan semua pendapatannya digunakan untuk perkara-perkara yang benar-benar diredhai Allah dan bukan kepada perkara yang tidak diredhaiNya.

6. Soalan Keenam: Berkaitan Mandi Janabah, dalam hidupnya selepas dia mencapai umur akil baligh apakah dia menyempurnakan mandi janabah dengan betul dan sempurna. Apakah dia membimbing ahli keluarganya dalam perkara berikut, ibu bertanggungjawab untuk membimbing anak perempuannya dan bapa menjadi pembimbing anak lelakinya, perkara ini perlu diasuh dan dijalankan dengan betul. Guru sekadar membantu dan mereka ada sekatan dalam memperincikannya. Jika tidak sempurna sudah tentu semua ibadat yang berkaitan dengannya akan menjadi sia-sia sahaja.

7. Soalan Ketujuh dan terakhir; Bagaimana silaturrahim antara dia dengan ahli keluarganya, dengan kedua ibubapanya , dengan kedua ibubapa isteri atau suaminya, antara dia dan guru-gurunya, antara dia dan orang-orang lebih tua darinya, antara dia dan jiran-jirannya dan antara dia dan orang yang pernah ada dalam hidupnya.

Jika ada mana-mana yang tidak sempurna atau belum sempurna, ambillah peluang Ramadhan ini dan hari-hari yang masih berbaki ini untuk memperbaiki diri kerana kita tidak tahu bila kita akan dijemput ALLAH untuk mengadapnya semula , mungkin tahun depan, mungkin bulan depan, mungkin minggu depan, mungkin esok atau mungkin sebentar lagi.

http://www.loveloveislam.com/2010/08/catatan-kuliah-subuh-kematian.html 

23 Oktober 2010

Mengapa Syaitan diciptakan

Allah memerintahkan untuk kita patuh dan taat kepada-Nya. Dan Allah SWT juga memerintahkan agar kita jangan tergoda untuk meninggalkan perintah-Nya. Perintah patuh dan taat diiringi dengan godaan, sebab kalau tidak ada godaan, maka taat dan patuh menjadi persoalan biasa. Taat dan patuh yang sejati iaitu apabila ada rayuan dan dorongan untuk berbuat maksiat, tetapi orang tersebut mampu menahan.

Menurut Ibnu Al-Qoyyim dalam bukunya "Syifa' Al-Ghali" menulis, dengan adanya syaitan dan iblis maka manusia berjuang menghadapi musuh Allah SWT dan musuh manusia itu, dengan demikian dapat meraih kedudukan yang lebih tinggi disisi Allah SWT. Dengan adanya iblis dan syaitan, maka manusia memanjatkan permohonan perlindungan kepada Allah SWT, sehingga sekian keburukan dapat ditepis dan banyak kemaslahatan yang bisa dipetik. Dengan adanya iblis dan setan serta sangsi yang diperolehnya, bertambahnya rasa takut dan pengabdian orang-orang yang beriman kepada Allah SWT.

Allah SWT menghendaki agar ketaatan dan kepatuhan seseorang timbul karena rasa takut kepada-Nya. Ini adalah ibadah, ibadah hanya untuk Allah SWT, kerana Allah SWT semata, walaupun besar godaan setan kepada kita untuk mengalihkan tujuan ibadah itu. Allah SWT menciptakan syaitan adalah hikmah. Serupa hikmahnya Allah SWT menciptakan kejahatan, maksiat atau mungkar.

Manusia diuji, apakah kuat imannya menolak ajakan dan godaan syaitan. Karenanya manusia diberi alat, sarana dan kemampuan oleh Allah SWT untuk menjahui kejahatan itu. Bila sadar dan mengerti ajakan  (dakwah) amar ma'ruf nahi munkar, maka syaitan dan kejahatan tidak akan berhasil memperdaya manusia.

Diedit semula oleh : Sani L.B @ El Bee San

21 Oktober 2010

Dahsyatnya Azab Kubur
Oleh: Batapihanand

Salam mesra kepada semua, sedikit tazkirah ringkas dalam blog saya ini untuk memperingati kepada diri saya dan semua akan azab kubur yang amat pedih dan dahsyat. Suatu azab yang cukup hebat kepada hambanya yang melakukan maksiat dan dosa. Azab kubur merupakan intro sebelum menempuh azab neraka kepada orang yang menderhakai Allah dan RasulNya.

Tanpa iman dan takwa, segala rahmat Allah akan terputus bila keluarnya nyawa dari tubuh kita. Orang yang beriman hendaklah meyakini bahawa ada kehidupan yang abadi dan lebih sempurna selepas kehidupan di dunia ini. Kehidupan inilah menjadi fokus utama orang-orang yang beriman.

Kerana itulah, persoalan akidah merupakan perkara yang paling asas dalam Islam. Islam diibaratkan sebagai bangunan, manakala akidah pula diibaratkan sebagai asas atau tapak kepada binaan tersebut. Jika rosak akidah seseorang maka rosaklah semua amalan yang dibina diatasnya. Atas dasar inilah Rasulullah SAW memulakan dakwahnya dengan persoalan akidah sebelum mengajar tentang hukum syariat Islam.

Walaupun Islam menganjurkan penggunaan akal fikiran namun dalam pembahasan akidah peranan akal wajib dibatasi. Apalagi persoalan akidah banyak berkait dengan perkara-perkara ghaib yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia yang sangat terbatas.

Istilah “kubur” hanyalah berdasarkan kebiasaan setiap manusia yang meninggal dunia akan dikuburkan. Adakah setiap manusia mesti ada kubur jika mereka meninggal dunia?. Sudah pasti tidak, kerana kadang-kadang terdapat manusia yang tidak diketahui di mana kuburnya, seperti orang yang mati dimakan binatang buas, mati terbakar hangus, mati hancur berkecai jasadnya kerana kemalangan, mati hilang di laut dan sebagainya.

Namun menurut keyakinan ahli sunnah wal jamaah setiap manusia yang mati tetap akan berada di alam kubur atau di alam barzakh iaitu alam di antara alam dunia dengan alam akhirat.

Menurut kamus Lisanul Arabi oleh Ibni Manzur, makna alam barzakh ialah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan atau ia juga bermakna dinding pembatas antara dua benda sejak dari waktu kematian seseorang sehinggalah dia dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh atau alam kubur.

Banyak perkara di dunia ini yang kita tidak dapat saksikan dengan mata kasar tetapi kita tetap meyakini kewujudannya. Contohnya beberapa orang yang tidur nyenyak di atas satu hamparan. Ada di antara mereka bermimpi indah dan ketika ia bangun, jasadnya merasai nikmat yang dirasakan oleh rohnya ketika bermimpi. Demikian sebaliknya, orang yang bermimpi buruk dan mengerikan, bukan sahaja rohnya terseksa tetapi badannya juga rasa terseksa. Sedangkan mereka yang tidur berhampiran pula tidak mengetahui apa yang dirasakan oleh rakannya. Jika perkara seperti inipun diakui hakikat kewujudannya maka demikianlah dengan alam barzakh, malahan alam barzakh lebih hebat dari itu.

Sesungguhnya nikmat dan azab kubur adalah sesuatu yang wajib kita imani dan yakini kewujudannya walaupun ia tidak dapat dibuktikan secara nyata tetapi ia termasuk dalam perkara “sam’iyyat” yang wajib kita yakini. Kerana Rasulullah SAW memerintahkan agar kita berlindung dari azab kubur sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh imam Muslim yang menyuruh para sahabat agar mengamalkan doa seperti berikut:

“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku mohon berlindung dari azab api neraka dan aku mohon berlindung dari azab kubur.”

Kita wajib berlindung diri dari azab kubur, kerana alam kubur merupakan persinggahan sementara untuk kehidupan selanjutnya. Jika di alam kubur kita mendapat kenikmatan, itulah tanda bahawa kita akan mendapat kemudahan dan kebahagiaan di alam akhirat nanti. Sebaliknya, apabila mendapat azab kubur, itulah petanda bahawa orang tersebut akan mendapat kesulitan di akhirat nanti. Sabda Rasulullah yang bermaksud :

“Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Pernahkah kita terfikir bagaimana bentuk azab atau nikmat kubur?. Rasulullah bersabda yang bermaksud :

“Apabila salah seorang di antara kamu mati, akan ditunjukkan kepadanya setiap pagi dan petang tempat tinggalnya. Bila ia penghuni syurga, akan ditunjukkan kepadanya kenikmatan syurga, dan bila ia penghuni neraka, akan ditunjukkan kepadanya keazaban neraka. Lalu dikatakan kepada mereka : “itulah tempat tinggalmu, sampailah Allah membangkitkanmu pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut nyatalah bahawa azab dan nikmat kubur pasti akan terjadi. Bagi mereka yang mempunyai keimanan yang mantap, ilmu Agama yang cukup, yakin akan kudrat dan kuasa Allah yang tiada tandingannya pasti akan yakin dengan adanya siksaan dan nikmat kubur. Hanya orang yang jahil dan sesat serta suka mendustakan Rasulullah SAW akan meragui dan mengingkari adanya azab kubur.

Sebenarnya di dalam Al-Quran terdapat lebih kurang 300 ayat yang menyatakan tentang kematian dan keadaan-keadaan kehidupan selepas daripada mati seperti di alam barzakh dan di akhirat. Nas-nas Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah saw menerangkan bahawa roh itu kekal, ada roh yang mendapat nikmat kerana amalannya di dunia dahulu baik dan ada roh yang terseksa lantaran amalannya di dunia dahulu jahat.

Atas sebab itulah, gambaran tentang azab seksa dan nikmat kubur wajib kita imani dan yakini. Apa lagi hadis-hadis yang menerangkan tentang azab seksa dan nikmat kubur sebagaimana yang dinyatakan adalah hadis sahih dan kuat darjatnya.

Apabila kita mengingati tentang kewujudan azab yang ditanggung selepas mati oleh orang-orang yang derhaka kepada Allah, maka kita terasa gementar kerana takut akan azab Allah yang menggerunkan dan insyaAllah akan mendekatkan diri kita kepada-Nya.

Justeru, kita boleh kasihkan harta tapi tidak lupakan soal hisab, kita boleh kasihkan rumah tapi tidak lupakan soal kubur, kita boleh kasihkan hidup tapi tidak lupakan soal maut, kita boleh kasihkan dunia tapi tidak lupakan soal akhirat.

Untuk itu, tidak ada jalan pintas melainkan kita wajib mematuhi segala yang diperintahkan Allah sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran. Patuh segala perintah Allah adalah syarat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menjadi kekasihnya.

Dengan mengingati azab kubur juga insyaAllah kita akan menjadi semakin takut untuk meninggalkan solat, meninggalkan puasa, tidak mengeluarkan zakat, merosakkan harta awam, melanggar batas-batas hukum syariat dan sebagainya. Dengan yang demikian akan memberi rangsangan kepada kita ke arah melakukan kebaikan yang sangat dituntut oleh Islam. Firman Allah yang bermaksud :

“(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab api neraka.” (Surah Ali-Imran ayat : 16)


Diedit semula oleh : El Bee San

18 Ogos 2010

Kehidupan ini terlalu indah

Orang kata hidup ini tidak seindah mimpi. Tapi bagi aku keindahan sentiasa ada. Lihatlah di sekeliling anda, bunga berwarna-warni tumbuh mekar di bawah sinar mentari. Lihatlah pokok-pokok yang begitu nyaman ditiup sang bayu. Lihatlah lautan yang sering mengalunkan desiran yang mengasyikkan. Lihatlah burung-burung yang bebas berkicauan dan berterbangan di udara. Lihatlah langit biru yang yang diwarnai awan putih berserakan dan lihatlah juga bukit-bukau atau gunung-ganang yang melatari panorama alam. Kelihatannya bagai sebuah lukisan yang cantik dan menarik untuk dipamerkan. 

Manusia adalah sebahagian daripada alam ciptaan Allah s.w.t. Subhanallah.. indahnya kehidupan ini jika manusia yang dikurniakan akal fikiran turut sama membina keindahan ini atau sekurang-kurangnya mempertahankan keindahan yang ada di sekeliling.

Tapi malangnya, keindahan ini semakin hilang serinya. Semuanya angkara manusia yang terlupa untuk menghargainya. Manusia menjadi agen kepada kemusnahan keindahan alam sekeliling, bukannya haiwan atau tumbuh-tumbuhan. 

Ingatlah, hanya manusia yang memiliki akal fikiran. Oleh itu, menjadi tanggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi ini untuk memastikan agar alam sekeliling ini sentiasa terpelihara dan terus dinikmati oleh golongan generasi yang bakal menggantikan kita. Jika manusia pada hari ini hanya mementingkan diri, bukan sahaja dimurkai oleh Allah S.w.t, malah generasi masa depan tidak akan habis-habis menyalahkan kita. Mereka mengutuk tindakan manusia pada hari ini yang tidak memikirkan natijah daripada perbuatan mementingkan diri sendiri.

Alam ini merupakan amanah Allah s.w.t untuk manusia memeliharanya. Oleh itu, sama-samalah kita memainkan peranan masing-masing sebagai sebahagian daripada khalifah Allah s.w.t yang ditugaskan untuk memakmurkan bumi ini.

17 Ogos 2010

Bagai Sirih Pulang Ke Gagang

"Bagai sirih pulang ke gagang..." Begitulah hidup ini ku umpamakan. Setelah genap 2 tahun tanpa sebarang post melalui blog ini, akhirnya blog ini dapat ku buka semula dan kembali beroperasi. Aku kembali setelah sekian lama terlupa password untuk blog ini.. hehe..

Alhamdulillah, seteleh percubaan demi percubaan dilakukan, password untuk blog ini dapat ku temui juga. Bermula dari tarikh ini, maka blog ini akan diaktifkan kembali. Namun, blog yang dulunya ku kenali sebagai 'Empayar Hati' telah ku tukar dengan rasminya sebagai blog 'Penjara Tak Berpagar'. 

Semuanya bakal memuatkan cerita dan kisah yang diterjemahkan daripad ragam kehidupan seharian. Kehidupan ini bagai dalam sebuah penjara yang tidak berpagar.