18 Ogos 2010

Kehidupan ini terlalu indah

Orang kata hidup ini tidak seindah mimpi. Tapi bagi aku keindahan sentiasa ada. Lihatlah di sekeliling anda, bunga berwarna-warni tumbuh mekar di bawah sinar mentari. Lihatlah pokok-pokok yang begitu nyaman ditiup sang bayu. Lihatlah lautan yang sering mengalunkan desiran yang mengasyikkan. Lihatlah burung-burung yang bebas berkicauan dan berterbangan di udara. Lihatlah langit biru yang yang diwarnai awan putih berserakan dan lihatlah juga bukit-bukau atau gunung-ganang yang melatari panorama alam. Kelihatannya bagai sebuah lukisan yang cantik dan menarik untuk dipamerkan. 

Manusia adalah sebahagian daripada alam ciptaan Allah s.w.t. Subhanallah.. indahnya kehidupan ini jika manusia yang dikurniakan akal fikiran turut sama membina keindahan ini atau sekurang-kurangnya mempertahankan keindahan yang ada di sekeliling.

Tapi malangnya, keindahan ini semakin hilang serinya. Semuanya angkara manusia yang terlupa untuk menghargainya. Manusia menjadi agen kepada kemusnahan keindahan alam sekeliling, bukannya haiwan atau tumbuh-tumbuhan. 

Ingatlah, hanya manusia yang memiliki akal fikiran. Oleh itu, menjadi tanggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi ini untuk memastikan agar alam sekeliling ini sentiasa terpelihara dan terus dinikmati oleh golongan generasi yang bakal menggantikan kita. Jika manusia pada hari ini hanya mementingkan diri, bukan sahaja dimurkai oleh Allah S.w.t, malah generasi masa depan tidak akan habis-habis menyalahkan kita. Mereka mengutuk tindakan manusia pada hari ini yang tidak memikirkan natijah daripada perbuatan mementingkan diri sendiri.

Alam ini merupakan amanah Allah s.w.t untuk manusia memeliharanya. Oleh itu, sama-samalah kita memainkan peranan masing-masing sebagai sebahagian daripada khalifah Allah s.w.t yang ditugaskan untuk memakmurkan bumi ini.

17 Ogos 2010

Bagai Sirih Pulang Ke Gagang

"Bagai sirih pulang ke gagang..." Begitulah hidup ini ku umpamakan. Setelah genap 2 tahun tanpa sebarang post melalui blog ini, akhirnya blog ini dapat ku buka semula dan kembali beroperasi. Aku kembali setelah sekian lama terlupa password untuk blog ini.. hehe..

Alhamdulillah, seteleh percubaan demi percubaan dilakukan, password untuk blog ini dapat ku temui juga. Bermula dari tarikh ini, maka blog ini akan diaktifkan kembali. Namun, blog yang dulunya ku kenali sebagai 'Empayar Hati' telah ku tukar dengan rasminya sebagai blog 'Penjara Tak Berpagar'. 

Semuanya bakal memuatkan cerita dan kisah yang diterjemahkan daripad ragam kehidupan seharian. Kehidupan ini bagai dalam sebuah penjara yang tidak berpagar.