31 Disember 2010

SENARAI SEMAK MUHASABAH DIRI SEBELUM TAHUN BARU 2011

Sudah lama rasanya tidak menulis dalam blog ini. Blog yang baru setahun jagung ini selalu dilupakan atas kesibukan saya melayan karenah dunia. Cuti sekolah yang panjang juga tidak memberikan kesempatan terluang untuk blog ini. Namun hari ini, kesempatan diberikan untuk mencoret sedikit perkongsian.

Hari ini 31 Disember 2010, hari terakhir sebelum kita masuk tahun baru 2011. Maknanya hanya beberapa detik sahaja lagi kita akan meninggalkan tahun 2010.

Tanpa disedari masa berlalu begitu cepat. barangkali banyak lagi yang ingin dilakukan tetapi tidak dapat dicapai kerana peredaran masa yang begitu singkat.

Tahniah kepada semua yang telah berjaya mencapai azam sepanjang tahun 2010 ini. Bagi yang masih gagal mencapai azam, jangan putus asa atau putus harapan. Teruskan azam tersebut ke tahun 2011. Mudah-mudahan berkat usaha dan kesabaran kita selama ini maka Allah s.w.t mempermudahkan kita untuk mencapainya.

Kesempatan yang ada ini, eloklah rasanya kita bermuhasabah diri bagi mencari ruang untuk memperbaiki diri agar sentiasa berada pada jalan keredhaan-Nya, tidak tersasar dari jalan ketakwaan sebagai umat Islam. Sebagai muslim, muhasabah diri perlu dilakukan setiap hari. Tujuannya untuk merenung kembali amalan diri kita. Apakah kita telah melakukan amal soleh seperti yang dituntut oleh agama? Apakah kita telah mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya? 

Muhasabah diri juga perlu dilakukan secara berpakej dengan melakukan 'bedah siasat' terhadap sikap dan sifat diri kita yang merangkumi luaran dan dalaman. Untuk menjadi manusia yang baik, segalanya harus bermula daripada hati kerana segumpal hati yang baik akan mempengaruhi kelakuan, sikap dan perbuatan seseorang.

Di dalam kita muhasabah diri, Syed Sabiq telah menyediakan satu senarai lengkap untuk menjadi senarai semak untuk kita semua membaiki diri iaitu :
  1. Lemah jiwa
  2. Mudah putus asa
  3. Putus harapan
  4. Angkuh
  5. Gembira tidak terbatas
  6. Ujub (Kagum dengan diri sendiri)
  7. Megah
  8. Zalim (aniaya)
  9. Girang
  10. Ingkar kepada kebenaran
  11. Tidak tahu berterima kasih (bersyukur)
  12. Tergesa-gesa
  13. Sempit dada (sempit fikiran)
  14. Kurang panjang akal
  15. Kikir (kedekut) untuk berbuat baik
  16. Bakhil pada harta
  17. Tamak haloba
  18. Suka membantah
  19. Suka menunjuk-nunjuk
  20. Bimbang kepada kebenaran
  21. Ragu-ragu kepada petunjuk
  22. Bodoh
  23. Lalai kepada kekurangan diri
  24. Suka berkeras sewaktu berbantah
  25. Tertipu dengan perasaan diri sendiri
  26. Berpura-pura
  27. Gelisah
  28. Keluh kesah
  29. Tidak suka menolong
  30. Lari dari kebenaran
  31. Menentang kekuasaan Tuhan
  32. Derhaka
  33. Melampaui batas
  34. Cinta harta
  35. Terpesona dengan keduniaan.
Sikap dan tabiat dalam senarai semak di atas adalah kayu ukur yang sering dikaitkan dengan penyakit hati. Sempena tahun baru 2011 ini, marilah kita sama-sama menjaga hati agar kita terpelihara daripada penyakit yang boleh menyebabkan amalan kita tidak sempurna.

Selamat menyambut tahun baru 2011 dengan muhasabah diri. Tanamkan azam untuk memiliki hati yang baru.